Projek #LightUpSomethingNice akan menjadi platform menyatukan semangat rakyat di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking berkata projek di bawah firma konsultansi Zubedy (M) Sdn Bhd itu memberi pendedahan kepada rakyat negara ini untuk bersama-sama membantu menyediakan lampu serta elektrik untuk masyarakat di pedalaman Sabah.

"Ada kampung, ada masalahnya dengan elektrik dan mereka guna panel solar dan generator.

"Mereka ini dalam populasi kecil tetapi berhak untuk mendapat elektrik. Projek ini memakan sedikit kos tetapi idea Zubedy memberi semangat untuk orang Sabah untuk bersama mencahayakan hidup orang pedalaman di sana," katanya semasa sidang media selepas merasmikan Projek #LightUpSomethingNice di sini, pada Khamis.

Projek itu adalah platform terbaik untuk mendapatkan semangat 3S iaitu Sabah, Sarawak dan Semenanjung untuk bekerjasama.

Projek #LightUpSomethingNice akan memberi tumpuan kepada pembangunan elektrik di kawasan luar bandar di Sabah dan juga Sarawak dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, Pengurus Projek untuk #LightUpSomethingNice, Farhana Kamarudin menjelaskan, ia cara terbaik untuk menjangkau dan menyalur bantuan kepada masyarakat di kawasan luar bandar Sabah.

Sementara Pengarah Urusan firma konsultansi Zubedy (M) Sdn Bhd, Anas Zubedy berkata, ia usaha memastikan masyarakat di kawasan luar bandar terutamanya Sabah dan Sarawak mendapat manfaat daripada kemajuan di negara kita.

Jelasnya, selain #LightUpSomethingNice, salah satu projek utama dalam kempen #SaySomethingNice tahun ini adalah #SabahSomethingNice.

Ujarnya, ia merupakan projek yang bertujuan untuk mempromosi dan mendidik rakyat tentang keindahan dari Sabah berdasarkan empat bidang iaitu pelancongan, kebudayaan, pameran dan taklimat.