Lima helikopter, 170 lori serta 283 bot dan lima dron adalah antara logistik yang disediakan oleh kerajaan negeri Sarawak dalam menghadapi musim kemarau yang dijangka berlanjutan sehingga Mei, khususnya bagi membekalkan air kepada penduduk.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata persiapan kali ini dilakukan selepas mengambil kira kelemahan dalam pelaksanaan pada musim kemarau lepas.

"Kita telah memberi arahan bahawa dalam masa enam jam selepas aduan diterima oleh pejabat residen, air mesti sampai di kampung yang membuat aduan itu," kata Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBN) pada sidang media selepas mesyuarat post-mortem JPBN, di sini pada Selasa.

Katanya, bagi penghantaran bekalan air ke tempat terpencil, pihak yang berkenaan dibenarkan menyewa apa juga logistik yang ada di kawasan terbabit bagi memastikan bekalan air sampai kepada penduduk.

Sementara itu, mengenai kerosakan akibat banjir yang melanda Sarawak bagi tempoh 7 Jan hingga 7 Mac lepas, beliau berkata pejabat daerah menerima permohonan wang ihsan berjumlah RM303,000 untuk diagihkan kepada 606 keluarga yang terlibat.

"Selain itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat pula telah menyalurkan RM17,914.36 untuk menguruskan sembilan kes banjir dan sebanyak RM6,900 bagi dua kes tanah runtuh di bahagian Limbang," katanya, menambah sebanyak 38 sekolah terjejas banjir di sembilan bahagian iaitu Kuching, Samarahan, Betong, Sarikei, Sibu, Kapit, Bintulu, Miri dan Limbang yang melibatkan 3,671 murid, 517 guru dan 239 bukan guru.

Banjir terbabit turut menjejaskan tujuh klinik kesihatan di empat bahagian iaitu Kuching, Serian, Sibu dan Bintulu, manakala dari segi pertanian hanya satu bahagian terjejas, melibatkan lima pekebun di daerah kecil Debak dengan kawasan seluas 2.7 hektar dan nilai kerugian kira-kira RM6,600.

-- BERNAMA