Satu Mesyuarat Jawatan Kuasa Tindakan Laporan Ketua Audit Negara (JTLKAN) akan diwujudkan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan jabatan awam jika ada penemuan meragukan dalam isu audit di mana-mana kementerian dan agensi bawahannya.

Ketua Audit Negara Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid berkata, mesyuarat JTLKAN akan membincangkan isu audit itu sebelum memperakukan sebarang tindakan sewajarnya.

"Maknanya kalau kita kata kecuaian tadi atau bayar terlebih. Kita akan buat susulan mendalam, lihat kenapa berlaku dan siapa pegawai bertanggungjawab yang tandatangan atau yang memberi kelulusan.

"Lepas dari itu kita akan mesyuarat bersama dengan agensi penguatkuasa, polis, SPRM dan jabatan-jabatan awam untuk menubuhkan jawatankuasa siasatan dalaman.

"Biasanya di peringkat jabatan atau kementerian untuk mengenalpasti sama ada berlaku kesilapan, salah guna kuasa atau kecuaian dan tindakan sewajarnya akan diperakukan oleh jawatankuasa tersebut," katanya semasa sidang media di sini, pada Selasa.

Beliau berkata demikian semasa sidang media Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2018 Siri 3 di sini, pada Selasa.

Sebanyak 12 pengauditan prestasi bernilai RM742.476 bilion dilaksanakan kali ini melibatkan program, aktiviti dan projek di 10 kementerian dengan 63 syor dikemukakan terhadap aktiviti kementerian, jabatan dan badan berkanun Persekutuan bagi membolehkan tindakan pembetulan dan penambahbaikan diambil.

Jabatan Audit Negara juga telah menjalankan pengauditan prestasi terhadap 17 program, aktiviti dan projek yang melibatkan 22 jabatan dan agensi kerajaan negeri; serta 13 pengauditan pengurusan syarikat kerajaan negeri, yang melibatkan 12 negeri kecuali Perlis.

LKAN 2018 Siri 1 telah dibentangkan di Dewan Rakyat pada 15 Julai 2019 manakala Siri 2 pada 2 Disember 2019.