Penubuhan mahkamah khas bagi menangani kesalahan di bawah Akta Jenayah Seksual Kanak-Kanak dapat membantu menyelesaikan kes jenayah seksual melibatkan kanak-kanak dalam jangka masa pendek.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, ia bukti komitmen kerajaan dalam melindungi kanak-kanak daripada terus menjadi mangsa mereka yang tidak bertanggungjawab.

"Kita akan menubuhkan mahkamah khas khususnya kanak-kanak adalah untuk melihat kes jenayah seksual kanak-kanak supaya kes itu boleh diproses dengan cepat. Ia termasuk kes yang tidak ada bukti, ia sangat penting.

“Kita hendak mudahkan, kita mahu tunjukkan kita sangat serius dalam hal ini," katanya.

Rohani berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Parit Sulong (BN), Datuk Noraini Ahmad pada sesi pertanyaan jawapan lisan sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan penubuhan mahkamah khas yang mengendalikan prosiding jenayah seksual kanak-kanak selain penggubalan Akta Jenayah Seksual Kanak-Kanak yang akan dibentang pada sidang Dewan Rakyat bulan ini.

Jelas beliau, penubuhan mahkamah ini berbeza dengan penubuhan Mahkamah Kanak-Kanak sedia ada dan ia adalah bukti komitmen kerajaan dalam melindungi kanak-kanak daripada terus menjadi mangsa mereka yang tidak bertanggungjawab.

Dalam pada itu kata Rohani, statistik penderaan seksual kanak-kanak dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini menunjukkan berlaku peningkatan kecuali pada tahun 2014 dan 2015 yang sedikit menurun.

"Bagi tempoh tersebut, sebanyak 5,052 kes penderaan seksual telah dilaporkan dan kebanyakan pesalah kes penderaan seksual kanak-kanak terdiri daripada ibu bapa, penjaga atau yang rapat dengan kanak-kanak termasuk pedofilia," jelasnya.