Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) dan Kerajaan Malaysia dikekalkan sebagai defendan dalam saman yang difailkan oleh keluarga tiga penumpang yang menaiki pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370 ketika ia hilang dua tahun lepas.

Ini berikutan keputusan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai oleh Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh yang membenarkan rayuan waris tiga penumpang berkenaan untuk mengekalkan saman sivil terhadap DCA dan kerajaan.

Bagaimanapun, Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dikecualikan sebagai defendan dalam tuntutan mahkamah kerana mahkamah menolak rayuan keluarga untuk mengekalkan saman terhadap TUDM.

Dua anak lelaki kepada pasangan, Tan Ah Meng, 46, dan isterinya Chuang Hsiu Ling @ Cindy Chuang, 45, dan ibu Hsiu Ling mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk membenarkan permohonan agensi-agensi kerajaan bagi membatalkan tuntutan saman itu.

Pasangan itu dan anak sulung mereka Tan Wei Chew, 19, antara 239 penumpang dan anak kapal MH370 apabila pesawat itu hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac, 2014.

Tan Wei Hong, 16, dan Tan Wei Jie, 14, dan ibu kepada Hsiu Ling, Chuang Hung Chien, 76, seorang warganegara Taiwan, menyaman Malaysian Airline System Berhad, Malaysia Airlines Berhad (MAB), DCA, TUDM dan kerajaan Malaysia ke atas kehilangan pasangan itu dan anak lelaki mereka.

MAB, bagaimanapun, berjaya dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan pada 7 Okt lepas untuk dikeluarkan sebagai defendan.

Peguam Sangeet Kaur Deo, yang mewakili keluarga itu, berhujah dalam rayuan prosiding hari ini bahawa DCA bertanggungjawab untuk mengesan pesawat di ruang udara Malaysia dan kegagalan mengesan penerbangan boleh membawa kepada kehilangan kapal terbang.

Beliau berkata adalah mustahil pada peringkat ini untuk mengetahui jika DCA mematuhi peraturan, sambil menambah terdapat banyak isu yang akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Peguam Kanan Persekutuan Alice Loke Yee Ching, mewakili agensi kerajaan berhujah bahawa tindakan Mahkamah Tinggi membatalkan tuntutan mahkamah terhadap DCA, TUDM dan kerajaan adalah betul kerana kenyataan tuntutan keluarga itu tidak mendedahkan punca tindakan terhadap mereka.

Beliau berkata, pengakuan dalam pernyataan tuntutan tidak menunjukkan bahawa DCA dan TUDM patut dipertanggungjawabkan kepada keluarga itu. - Bernama