Malaysia akan terus menjaga perhubungan baik dengan semua negara-negara luar, tanpa mengira polisi atau sistem kerajaan masing-masing.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata ia bagi memastikan Malaysia sebagai sebuah negara yang berdagang akan mendapat akses pasaran yang lebih luas.

"Malaysia sebagai negara yang berdagang tidak mampu untuk berkelahi dengan negara lain hanya kerana ideologi mereka.

"Kami mahu akses kepada semua pasaran dunia, tidak kira negara barat atau timur," kata Dr Mahathir dalam sidang media di ibu negara, hari ini.

Beliau menjelaskan isu ini merupakan antara perkara yang dibincangkan bersama Yang Dipertuan Agung Sultan Muhammad V di Istana Negara, semalam.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata walaupun terdapat negara-negara berkuasa yang melaksanakan sekatan terhadap beberapa negara, ia tidak akan memberi impak kepada polisi negara.

"Negara-negara kuasa ini mungkin melaksanakan sekatan hanya kerana tidak ada persetujuan antara kedua negara itu.

"Namun, kami akan sentiasa menjadi neutral, dan terus menjaga perhubungan baik dengan negara-negara luar," katanya.