Malaysia dan Singapura mencapai kesepakatan bersama memuktamadkan pelaksanaan Projek Sistem Rapid Transit (RTS) yang menghubungkan kedua-dua negara itu, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Beliau menjelaskan, majlis pemeteraian tiga perjanjian iaitu Perjanjian Bilateral, Perjanjian Konsesi dan Perjanjian Usahasama JV OpCo yang akan diadakan pada 30 Julai ini di Tambak Johor yang akan disaksikan Perdana Menteri dari kedua-dua negara.

Beliau memberitahu, projek yang melibatkan kos sebanyak RM3.7 bilion itu dijangka beroperasi sepenuhnya pada hujung tahun 2026.

"Ini adalah status terkini dan ini menunjukkan bahawa projek RTS telahpun mencapai satu tahap di mana kedua-dua negara sudah bersetuju untuk menandatangani perjanjian.

"Sudah pasti kelulusan berkenaan untuk memulakan kerja akan diperolehi dalam beberapa bulan ini dan jangkaan kita ialah ia akan dibahagikan kepada dua fasa," katanya pada sidang media di Parlimen di sini hari ini.

Projek RTS bakal menghubungkan Bukit Chagar, Johor ke stesen Woodlands North, Singapura dengan sasaran kapasiti mencecah 10,000 penumpang sejam.

Dalam pada itu, Ka Siong memberitahu, pembinaan struktur sivil akan dimulakan pada Januari tahun hadapan.

"Kita jangkakan ia akan mengambil tempoh 48 bulan atau 4 tahun disusuli fasa kedua iaitu pembinaan sistem seperti signalling, rolling stock telekomunikasi, pentauliahan dan pengujian sistem ini dalam tempoh dua tahun," ujarnya.

Terdahulu, Ka Siong turut menjawab pertanyaan Akmal Nasrullah Mohd Nasir (PH-Johor Bahru) di Dewan Rakyat yang bertanyakan status terkini rundingan antara Malaysia dan Singapura berkaitan projek RTS itu.