Keceriaan jelas terpancar pada wajah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin dan rakan sejawatnya dari Singapura, Lee Hsien Loong, yang bertemu dalam majlis simbolik di tengah Tambak Johor pada Khamis.

Kedua-dua pemimpin itu tersenyum lebar dan berbual mesra pada majlis bersejarah sempena kesepakatan Malaysia dan Singapura untuk menyambung semula projek Sistem Transit Rapid (RTS).

"Terima kasih kerana menyelesaikan urusan perjanjian (RTS) dengan kami," kata Lee kepada Muhyiddin, yang kemudiannya menjawab: "Terima kasih kerana bekerja keras".

Seterusnya Lee berkata projek itu akan bermula, dan disiapkan dalam tempoh enam tahun.

"Insya-Allah," jawab Muhyiddin, seperti dilaporkan Bernama.

Kedua-dua pemimpin yang sedang berkerja keras menghadapi cabaran dalam mengawal COVID-19 di negara masing-masing, turut meluangkan masa untuk berbual mengenai keadaan semasa, khususnya berkaitan penularan pendemik di kedua-dua negara.

"Saya harap lain kali saya boleh menyeberang garisan ini (sambil menunjukkan garisan kuning yang memisahkan tempat mereka berdiri) tanpa dikuarantin," katanya kepada Lee, yang mencetuskan gelak ketawa kedua-dua pemimpin itu.

Kedua-dua mereka, berserta menteri kabinet yang lain dilihat sepakat mengenakan baju batik di majlis pagi ini.

Muhyiddin dan Lee berbual selama kira-kira 15 minit dalam pertemuan itu, yang boleh dianggap cukup bersejarah dan simbolik, memandangkan ia merupakan perjumpaan kali pertama dua pemimpin di atas Tambak Johor.

Laluan itu digunakan oleh lebih 350,000 pengguna setiap hari sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasa pada 18 Mac.

Ia juga merupakan perjumpaan secara bersemuka buat kali pertama sejak Muhyiddin dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan pada 1 Mac.

Lee sendiri baru sahaja mengangkat sumpah bagi menyambung tugas sebagai Perdana Menteri pada 27 Julai susulan kemenangan Parti Tindakan Rakyat (PAP) pada pilihan raya umum baru-baru ini.

Selepas tiga penangguhan, Malaysia dan Singapura akhirnya bersetuju untuk meneruskan pelaksanaan projek RTS.

RTS, yang merupakan alternatif bagi mengurangkan kesesakan di laluan Tambak Johor, merangkumi pembinaan laluan sepanjang empat kilometer menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bahru dan Woodlands di Singapura.

Projek RTS telah melalui siri perbincangan panjang lebar di bawah kepimpinan tiga Perdana Menteri Malaysia, dan dijangka menelan belanja kira-kira US$872.14 juta (RM3.7 bilion, US$1 = RM4.24) di pihak Malaysia, dengan spesifikasi yang dipersetujui kedua-dua negara.

Projek yang merangkumi dua fasa dengan kos keseluruhan kira-kira RM10 bilion itu, dijangka bermula 2021, dan akan disiapkan hujung 2026.

-- BERNAMA