Malaysia telah menyuarakan kebimbangannya kepada Indonesia berhubung peningkatan bilangan titik panas di Sumatera dan Kalimantan kerana ia menyumbang kepada keadaan berjerebu di negara ini.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Kuala Lumpur mahu Jakarta mengambil tindakan segera bagi menangani peningkatan bilangan titik panas serta menggiatkan usaha pemadaman kebakaran yang berlaku di wilayahnya.

Junaidi dalam satu kenyataan di sini, hari ini berkata, pendirian Malaysia itu dinyatakan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar dalam suratnya kepada rakan sejawatannya di Kementerian Alam Sekitar dan Kehutanan, Indonesia , pada Selasa.

"Kemerosotan kualiti udara di kebanyakan kawasan, khususnya di Lembah Klang, utara pantai barat Semenanjung dan Sarawak hari ini, berpunca dari jerebu merentas sempadan dari Sumatera dan Kalimantan, Indonesia.

"Peta jerebu serantau yang dikeluarkan oleh Pusat Meteorologi Khas ASEAN, hari ini menunjukkan terdapat lebih banyak lingkaran jerebu sederhana yang berpunca dari kawasan-kawasan kebakaran tanah dan hutan di Sumatera Tengah dan Selatan, serta Kalimantan Barat dan Tengah, Indonesia.

Bagaimanapun, junaidi berkata, setakat ini, tiada titik panas dikesan dalam negara.

"Jabatan Alam Sekitar sedang memantau rapi status dan tren kualiti udara setiap jam berikutan keadaan jerebu masih tidak menentu dan jumlah titik-titik panas di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia masih dikesan yang boleh menyebabkan pencemaran jerebu merentas sempadan berterusan ke Pantai Barat Semenanjung Malaysia dan ke negeri Sarawak,"

Menurutnya, berikutan perkembangan terbaru jerebu itu, beliau akan ke Indonesia dalam tempoh terdekat untuk bertemu rakan sejawatannya di Jakarta, bagi membincangkan penyelesaian kepada masalah jerebu yang sedang melanda negara ini.

Iai termasuk, rundingan bagi mempercepatkan proses untuk memuktamadkan Perjanjian Persefahaman (MoU) dua hala mengenai program pencegahan pencemaran jerebu merentas sempadan antara Malaysia dan Indonesia.

Di samping itu, katanya, satu Mesyuarat Induk Jerebu Kebangsaan akan diadakan pada 28 September ini.

"Mesyuarat ini bertujuan membincangkan tindakan pencegahan jerebu dan tindakbalas kecemasan antara agensi bagi menangani situasi jerebu yang tidak menentu semasa cuaca panas dan kering yang diramal berlanjutan sehingga bulan Oktober ini.