Tutup

Masih tidak peduli? Ucapkan selamat tinggal kepada haiwan-haiwan ini

Masih tidak peduli? Ucapkan selamat tinggal kepada haiwan-haiwan ini
Satu sudah tiada... tinggal lagi berapa? - Astro AWANI
BERMULA daripada kematian tiga serangkai badak sumbu Sumatera terakhir di negara - Puntung, Tam hinggalah kepada Iman, semuanya kini hanya tinggal kenangan.

Penyesalan sahaja tidak boleh mengembalikan populasi spesies itu. Memang sudah tercatat dalam sejarah Malaysia bahawa spesies itu sudahpun pupus. 

Tanpa kita sedari, sebenarnya kerakusan manusia yang tidak pernah mengenal erti cukup – bukan hanya akan menyebabkan kita kehilangan mamalia istimewa itu, malah khazanah negara yang lain juga.

BACA: Dukacita diumumkan... Iman, si badak sumbu Sumatera terakhir di Malaysia, sudah tiada!
BACA: Masihkah ada peluang untuk Malaysia 'tebus' kepupusan badak sumbu Sumatera?

BACA: Berita sedih buat Malaysia, Tam sudah tiada...
Mengikut rekod Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), setakat ini dianggarkan sebanyak 26 spesies haiwan tergolong dalam kategori terancam di Malaysia.

Janganlah nanti tiada siapa lagi yang peduli dan hanya mahu meneruskan kepentingan spesies manusia sahaja, tanpa mahu mengakui dunia ini dikongsi dengan jutaan spesies lain.

Jika itu terjadi, satu per satu spesies haiwan berikut ini juga sedang menunggu giliran menerima nasib yang sama dengan Puntung, Tam dan Iman. 


HARIMAU MALAYA

Secara purata Harimau Malaya bersaiz 2.4 meter panjang dan seberat 120 kilogram.


Harimau Malaya (Panthera tigris jacksoni) merupakan salah satu subspesies harimau belang yang masih wujud di dunia dan hanya terdapat di Semenanjung Malaysia.

Spesies karnivor ini hidup bersendirian kecuali ketika hendak mengawan atau masih beranak kecil. Proses mengawan berlaku sepanjang tahun dan menghasilkan dua atau tiga ekor anak.

BACA: Hanya tinggal 50 harimau belang di Perak

BACA: Harimau Malaya pupus dalam masa 10 tahun - Dr Xavier

BACA: Harimau Malaya kian terancam angkara jerat

BACA: Selamatkan 'Raja Rimba' daripada kepupusan




 

Daripada sembilan subspesies harimau belang di dunia, tiga daripadanya telah diisytiharkan pupus.

Populasi: Dianggarkan kurang 200 ekor.

Saiz: Secara purata Harimau Malaya bersaiz 2.4 meter panjang dan seberat 120 kilogram.

Habitat: Belum-Temengor (Perak), Taman Negara (Pahang, Terengganu, Kelantan) dan Endau-Rompin (Johor, Pahang).

Ancaman kepupusan: Pemburuan haram, perdagangan hidupan liar, kehilangan habitat, dan kekurangan sumber makanan.


SELADANG

Seladang atau nama saintifiknya, bos gaurus merupakan mamalia darat kedua terbesar di Malaysia selepas gajah.


Seladang atau nama saintifiknya, Bos gaurus merupakan mamalia darat kedua terbesar di Malaysia selepas gajah. Biasanya, spesies ini tinggal di hutan Tropika atau mendiami kawasan hutan tanah pamah.

Usia matang seladang yang berada dalam kurungan adalah sekitar dua tahun empat bulan. Di habitat asal, pembiakan spesies ini berlaku sepanjang tahun walaupun terdapat tempoh kemuncak antara bulan Disember dan Jun.

Populasi: Anggaran sekitar 600 hingga 800 ekor.

Saiz: Seladang jantan dan betina dibezakan berdasarkan tanduk yang melebar. Bagi seladang jantan, saiz besar dan berat adalah sekitar satu tan, manakala bagi seladang betina, saiz badan dan berat adalah kira-kira 700 kilogram (kg).

Habitat: Di Semenanjung Malaysia - spesies Bos gaurus hubbacki boleh ditemui di Pahang, Kelantan, Kedah, Perak dan Terengganu.

Ancaman kepupusan: Pemburuan, habitat, haiwan pemangsa


BACA: Empat pemburu haram warga asing diberkas di Hutan Royal Belum dan Temengor

BACA: Bangkai gajah pygmy: Hukuman lebih berat termasuk sebatan menanti pemburu

BACA: Tapak kaki gajah pygmy dipotong, hanya 30 peratus bahagian badan ditemui



GAJAH PYGMY

Gajah Pygmy Borneo juga dikenali dengan panggilan gajah kerdil Borneo.


Gajah pygmy Borneo juga dikenali dengan panggilan gajah kerdil Borneo atau nama saintifiknya Elephas maximus borneensis.

Ia merupakan sub spesies terkecil di dunia dan boleh ditemui di timur Sabah dan utara Kalimantan.

Lebih kecil berbanding  gajah Asia yang lain, pygmy Borneo mempunyai ekor yang lebih panjang yang hampir mencecah ke tanah, selain gading yang lebih tegak.

BACA: Menyedihkan... Bangkai ketiga gajah pygmy ditemukan di Kinabatangan 

BACA: Seekor lagi gajah Pygmy ditemui mati dengan kesan tembakan

BACA: WWF Malaysia kecam pembunuhan kejam gajah pygmy


 

 
Spesies ini boleh hidup sehingga 60 tahun di hutan liar, sementara  80 tahun dalam kurungan.

Spesies yang suka makan durian ini melahirkan seekor anak dalam tempoh empat hingga enam tahun dan hanya mempunyai kira-kira tujuh ekor anak sepanjang hayat haiwan tersebut.

Populasi: Setakat 2018, sekitar 2,000 ekor gajah pygmy Borneo dikesan di Sabah.

Saiz: Gajah pygmy Borneo yang berusia enam bulan mempunyai ketinggian 1.5 meter, sementara gajah dewasa berusia lima tahun berukuran 2.4 meter. Spesies ini mempunyai berat kurang daripada dua tan.

Habitat:  Di kawasan tanah rendah dan lembah, dan boleh ditemui di bahagian selatan dan timur Sabah.

Ancaman kepupusan: Kemusnahan kawasan hutan tanah rendah, dan pencerobohan manusia seperti kegiatan pemburuan dan pembalakan


Sementara itu, berikut adalah senarai haiwan-haiwan lain yang terancam di Malaysia:
  • Gajah
  • Tapir
  • Tenggiling
  • Banteng
  • Kambing Gurun
  • Burung Botak Upeh
  • Burung Botak kecil
  • Rusa Sambar
  • Beruang Matahari
  • Kubung
  • Beruk Kentoi
  • Ungka
  • Siamang
  • Kongkang
  • Serigala
  • Kucing Tulap
  • Harimau dahan
  • Harimau bintang
  • Kucing dahan
  • Memerang
  • Burung Merak Hijau
  • Burung Merak Pongsu
  • Burung Kuang Gunung



Sumber: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS), Tabung Alam Sedunia (WWF) Malaysia


Tag: Khazanah, Harimau Malaysia, Gajah pygmy Borneo, Haiwan terancam di Malaysia, Badak sumbu Sumatera pupus, Iman sudah tiada, Tam badak sumbu sumatera jantan terakhir, Seladang haiwan terancam, Pemburu haram



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.