Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak melaporkan tiada kes baharu COVID-19 di negeri itu pada Khamis.

Pengerusinya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas bagaimanapun mengumumkan beberapa keputusan yang diambil oleh pihak JPBNS dalam usaha mengekang penularan COVID-19.

Berikut merupakan lima tumpuan sidang media JPBNS pada Khamis:

1. Semua warganegara yang memasuki sarawak akan dipasang 'wristband' dan dibenarkan balik ke rumah masing-masing bagi menjalani kuarantin. Keputusan JPBNS ini akan dikuatkuasakan mulai 1 Ogos 2020.

2. Orang awam diwajibkan memakai pelitup muka. Arahan ini juga berkuatkuasa pada 1 Ogos 2020. Sekiranya ingkar, tindakan boleh diambil.

3. Had masa bagi perniagaan di Zon 1 iaitu di Kuching, Samarahan dan Serian terhad sehingga 10 malam sahaja. Bagaimanapun, kilang dan stesen minyak dibenarkan beroperasi seperti biasa namun memaklumkan pengoperasian kepada pihak JPBNS.

4. Op Benteng berjaya menghalang kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI). Dua cubaan tumpas setakat ini melibatkan kes di jalan Kuching-Serian dan CIQ Tebedu.

5. Tiada kes baharu dilaporkan pada hari ini. Jumlah kes positif masih kekal 677 kes. Manakala, enam kes baharu telah pulih dan dibenarkan discaj dari Hospital Umum Sarawak.