Kerajaan negeri Melaka dan Indonesia akan memperkukuhkan hubungan dua hala dalam sektor pengangkutan udara, pelancongan kesihatan dan pendidikan, kata Ketua Menteri Melaka Adly Zahari.

Beliau berkata Melaka menerusi syarikat swasta, juga sedang merancang membuka laluan baharu yang menghubungkan antara Melaka, Jakarta dan China, yang dijangka dapat direalisasikan pada awal tahun hadapan.

"Kita peringkat kerajaan negeri Melaka telah mengadakan perjumpaan dengan Gabenor Jakarta baru-baru ini bagi membincangkan inisiatif berkenaan dan secara dasarnya mereka bersetuju, kerana ia akan memberi manfaat kepada Melaka dan juga Jakarta.

"Perkara ini perlu dibincang dan diselaraskan dengan lebih terperinci dan lanjut lagi bagi memastikan laluan baharu ini dapat dibuka pada awal tahun hadapan," katanya kepada pemberita selepas lawatan sempena sambutan Deepavali di 'Little India' di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, beliau berkata Jakarta juga berminat untuk melabur dalam industri pelancongan kesihatan Melaka, khususnya dalam bidang kejururawatan menerusi institusi pendidikan di negeri itu iaitu Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM).

Katanya melalui kerjasama itu, pelajar Indonesia akan menjalani pengajian di KUIM kerana bidang kejururawatan yang ditawarkan di institusi itu, mendapat pengiktirafan di peringkat tempatan dan juga antarabangsa.

Adly berkata jalinan kerjasama itu secara tidak langsung akan dapat menaik taraf status KUIM sebagai kolej universiti kepada universiti penuh pada masa hadapan.

"Salah satu kriteria untuk KUIM mencapai status universiti penuh ialah, ia perlu mempunyai sejumlah pelajar luar negara dan ia merupakan satu cabaran besar kepada KUIM.

"Perbincangan ini akan dilanjutkan melalui Duta Besar Malaysia ke Indonesia dan pada masa sama KUIM akan menulis surat kepada Duta Besar Indonesia ke Malaysia berkenaan usaha tersebut," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri akan mewujudkan emporium kampung di beberapa kawasan, terutama di pusat tumpuan pelancong bagi memasar dan mempromosi produk keluaran luar bandar.

Katanya inisiatif itu bertujuan melahirkan lebih ramai usahawan luar bandar, selain memastikan produk yang dihasilkan mendapat tempat untuk dipasarkan dan mengurangkan saingan daripada produk jenama besar.

"Kita telah mengenal pasti beberapa tempat atau bangunan sedia ada yang boleh dijadikan emporium kampung ini dan ia akan diusahakan secepat mungkin, menerusi agensi kerajaan negeri yang diberi tanggungjawab," katanya.

-- BERNAMA