Mendiang Tan Sri Yuen Yuet Leng selamat disemadikan di Taman Peringatan Xiao En Centre, di sini dalam satu istiadat pengkebumian rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada jam 12:35 tengahari, hari tadi.

Selain ahli keluarga serta sahabat mendiang yang datang memberikan penghormatan terakhir, lebih 100 pegawai polis turut hadir pada majlis pengkebumian bekas Ketua Polis Perak, jawatan yang disandang pada 1975.

Mendiang juga pernah bertugas sebagai Pesuruhjaya Polis Sarawak mulai 1981 sehingga beliau bersara pada 1984.

Majlis pengkebumian itu turut dihadiri Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Zulkifli Abdullah, bekas Panglima Angkatan Tentera, Jeneral bersara Tan Sri Mohamed Hashim Mohd Ali dan Speaker Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang.

Sebagai tanda penghormatan, kalungan bunga diletakkan oleh Pengarah Pengurusan ( pentadbiran ) Datuk Roslan Hasan pada keranda mendiang disusuli Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Jaafar Mohd Yusof.


Mendiang meninggalkan seorang balu, Puan Sri Chan Choy May, 68 bersama dua anak perempuan, Susan Yuen Sumin, 56 dan Marina Chan Chean Gaik, 54.

Yuen meninggal dunia pada 1 Oktober lalu selepas mendapat serangan jantung.

Mendiang merupakan bekas pegawai cawangan khas yang sering diburu komunis semasa dan selepas zaman darurat.

Selain itu, Yuen merupakan antara individu penting sehingga tercapainya Rundingan Damai Hadyai pada 1989 yang membawa kepada pembubaran dan peletakan senjata Parti Komunis Malaya (PKM).