Ramai yang beranggapan mungkin tidak munasabah untuk berbelanja makan dengan hanya RM10 di bandar-bandar besar atau ibu kota kini.

Namun pengguna yang bijak mencari tempat makan murah, mereka boleh berjimat dengan RM10 itu, umpamanya membelanjakan RM2 untuk menikmati sarapan 'rakyat Malaysia', sama ada roti canai, nasi lemak atau bihun goreng dengan secawan Teh-O.

Untuk makan tengah hari, sekeping wang RM5 cukup untuk menikmati ikan masak gulai cili api, kari ayam atau nasi 'banjir' gulai kawah daging bersama sayur dan sejenis air minuman.

Hidangan itu tersedia di bawah Menu Rakyat 1Malaysia (MR1M) yang diperkenalkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, hasil inisiatif kerajaan untuk membantu rakyat mendapatkan makanan dengan harga berpatutan sekali gus membantu mengurangkan beban harian rakyat.

Pengusaha Gerai 14 di Taman Sri Murni Selayang di sini, Ani Awang, 46, berkata MR1M mendapat sambutan menggalakkan di kedainya, ekoran harganya yang lebih murah.

"Susah nak dapat harga RM4.50 untuk satu set lengkap. Ada nasi, sayur, lauk dan air. Jika pelanggan nak ambil sambal sedikit pun, saya tak akan kira harga lain, walaupun tak ada dalam MR1M," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Mengakui kos barang basah sememangnya meningkat mendadak sejak awal tahun ini, peniaga yang menawarkan MR1M bagaimanapun tetap mengekalkan makanan pada harga sama sejak dilancarkan pada 7 Julai 2011.

Dalam tempoh enam bulan dilancarkan, sebanyak 1,155 premis makanan seluruh negara telah menyertai program MR1M, dan orang ramai boleh mengenal pasti restoran atau gerai yang mengambil bahagian menerusi papan tanda di hadapan kedai.

Di ibu kota pula, terdapat kira-kira 36 premis makanan yang menyediakan MR1M - di Bandar Tun Razak, Titiwangsa, Seputeh, Batu, Bukit Bintang, Lembah Pantai, Cheras, Segambut dan Kepong.

Pemilik gerai Selera Minang di Medan Selera Jalan Duta di sini Masariman Zanur Ali berkata harga MR1M di kedainya yang merangkumi sepinggan nasi, sejenis lauk dan sayuran beserta air minuman ialah RM4.

"Dari segi kuantiti ia bersesuaian dengan harga dibayar, tak sikit sangat tak juga banyak sangat, tapi sekurang-kurangnya pengguna boleh ada alternatif untuk berjimat," kata Masariman.

Meskipun mengakui menu itu bagus untuk membantu rakyat berjimat, peniaga Ismail Yusuf, 45, yang mengusahakan restoran Alya Seafood di Kampung Baru di sini berpendapat promosi lebih menggalakkan perlu dilakukan bagi memperkenalkan menu itu kepada orang ramai.

"Tidak ramai yang mahu memesan menu itu kerana tak tahu, atau ada yang pesan, tapi mahukan lauk lain (yang) kami tak boleh beri, sebab harga MR1M ditetapkan dengan hidangan yang sedia ada," katanya.

Turut menawarkan MR1M sejak dua tahun lepas, ialah Restoran Ukhwah di Lorong Medan Tuanku 1 di sini, yang hanya mengenakan bayaran RM1 bagi sekeping roti canai bersama Teh panas untuk sarapan pagi dan RM3 bagi set makan tengah hari.

Pengurusnya Idris Sani, 60, berkata tawaran itu lebih bertujuan membantu mereka yang memerlukan dan bukannya bersandarkan kepada keuntungan semata-mata.

Anggota tentera Ramani Mohamad, 43, berkata beliau agak kerap memilih MR1M untuk makan tengah hari di restoran itu, bukan hanya disebabkan harganya yang murah, tetapi juga lokasi restoran yang berhampiran dengan pejabatnya.

Beliau berkata mungkin ada yang mengatakan makanan di tempat lain lebih murah, namun Ramani berpendapat adalah 'tidak berbaloi' untuk keluar dan berpusing-pusing mencari tempat letak kereta hanya untuk makan dalam tempoh masa rehat terhad sejam.

Jika dibuat perbandingan harga, eksekutif pemasaran di sebuah syarikat swasta Zulaikha Zahid, 30, berkata MR1M menawarkan harga jauh lebih murah berbanding harga makan tengah hari biasa di kebanyakan kedai makanan di ibu negara, terutama selepas kenaikan pelbagai harga barang tahun ini.

"Memang terasa kenaikan harga barang, tapi tidak boleh dielakkan. Kalau biasa di kedai makan hari ini, harga sekali makan tengah hari boleh mencecah RM8 seorang, jadi bagus ada menu alternatif seperti ini," katanya.

Pekerja swasta Norazina Sukamri, 33, berpendapat MR1M mungkin boleh dipelbagaikan bagi membolehkan pelanggan menukar selera, selain 'mengikat' pelanggan untuk terus mengunjungi restoran itu.

"Menu ini tak perlu mewah...kita faham harga yang diberikan sudah murah. Tapi memadailah masakan berbeza disajikan setiap minggu supaya pelanggan tak jemu," katanya. -- BERNAMA