Seorang pelajar tingkatan tiga yang dalam perjalanan ke sekolah maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua buah motosikal di Jalan Pinang Tunggal, Kepala Batas, Pulau Pinang pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, mangsa Muhammad Shauqi Muhammad Amin, 15, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata mangsa yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Kailan di sini menunggang motosikal jenis Demak Evo dalam perjalanan ke sekolah dari arah Lembah Raja menghala ke Pinang Tunggal.

Bagaimanapun, apabila sampai di satu selekoh, mangsa dipercayai gagal mengawal motosikalnya dan masuk ke laluan bertentangan.

Motosikal Muhammad Shauqi kemudian bertembung dengan motosikal jenis Honda Wave Dash dari arah bertentangan yang ditunggangi lelaki berusia 49 tahun dengan anak lelakinya berusia 11 tahun.

Akibat perlanggaran itu, ketiga-tiga mangsa terpelanting ke atas jalan raya.

Noorzainy berkata penunggang motosikal Honda Wave patah kaki kanan serta luka pada muka dan tangan kanan, manakala anaknya mengalami luka pada kaki kanan dan cedera pada kepala.

Mayat Muhammad Shauqi kemudiannya dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.