Pelajar Malaysia pintar Matematik, Nur Fitri Azmeer Nordin yang dihukum penjara oleh Mahkamah London kerana memiliki bahan lucah kanak-kanak telah memperoleh kebenaran untuk diekstradisi ke Malaysia selepas berakhir tempoh hukuman.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat, MARA, Tan Sri Annuar Musa , berkata, beliau telah memohon kepada Kementerian Luar untuk memastikan pihak kedutaan Malaysia di negara berkenaan meneliti perkara berkenaan.

Tambahnya, keluarga Nur Fitri sebelum ini telah merayu kepada MARA untuk membantu proses ekstradisi ke Malaysia kerana proses itu memerlukan input tertentu daripada pihak kedutaan.

"Yang terakhir saya dapat termasuk daripada keluarganya ialah mereka merayu kepada kita untuk membantu dalam proses ekstradisi dan katanya dalam proses itu, ia memerlukan input tertentu daripada kedutaan,"

"Oleh sebab ia libat kedutaan, saya telah mohon Datuk Hamzah Zainuddin supaya proses ekstradisi boleh dilaksanakan dan kita tak boleh mencampuri beyond that," katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat MARA, Kuala Lumpur.

Ujarnya, tidak timbul soal penajaan pengajian pelajar itu memandangkan kontraknya terbatal berikutan universiti terbabit tidak lagi menerimanya.

BACA: MARA tamatkan pinjaman pelajaran Nur Fitri Azmeer serta-merta

BACA: Kesalahan Nur Fitri jenayah yang amat berat - Najib

"Kita di sini sentiasa melihat kemungkinan-kemungkinan tertentu. Hari tu wrong signal sebab kebetulan ahli majlis kita beri pandangan peribadi bahawasanya dia (Nur Fitri) boleh ditempatkan di mana-mana institusi MARA,"

"Sebenarnya tidak. Itu pandangan beliau secara peribadi, itu bukan keputusan MARA. Biar undang-undang selesai, dan kemudian dia kembali (ke Malaysia) apa apa selepas itu kita putuskan kemudian. "ujarnya.

Beliau berkata, MARA tidak boleh 'lepas tangan' dalam masalah berkenaan kerana ia adalah tanggungjawab badan itu.

"Kita membantu atas sifat kemanusiaan, dan kerana dia adalah pelajar yang kita hantar. Kita tidak boleh biarkan begitu sahaja,"

"MARA mempunyai tanggungjawab seberapa boleh bantuan-bantuan pejabat MARA London sedang menyusuli," tambah beliau.

Mei lepas, Nur Fitri yang sebelum ini mendapat tajaan MARA dijatuhi hukuman penjara lima tahun atas kesalahan memiliki lebih daripada 30,000 imej dan video lucah kanak-kanak oleh Mahkamah Southwark Crown, London.

Menurut laporan portal United Kingdom International Business Times, Nur Fitri telah disabit dengan 17 kesalahan memiliki, membuat dan menyebarkan gambar-gambar lucah kanak-kanak

Nur Fitri mengaku melakukan kesalahan tersebut sehingga tarikh November 2014 di mahkamah yang sama.

Dia yang ditahan di kediamannya di Queensborough Terrace, West London mula belajar di Imperial College sejak tahun lalu.

Pihak Polis Metropolitan berjaya mengesan Nur Fitri selepas menemui satu akaun internet miliknya yang telah memuat turun beribu-ribu video dan imej lucah kanak-kanak.

Polis telah bertindak menggeledah rumahnya pada November 2014 dan menemui komputer riba milik Nur Fitri yang masih terbuka bersebelahan sebuah patung kanak-kanak.

BACA: Nur Fitri 'sakit' dan perlu pemulihan - Rohani


BACA: Pelajar genius Malaysia di London dipenjara lima tahun miliki bahan lucah kanak-kanak