Seorang lelaki rentung apabila kenderaan yang dipandunya terbakar dalam satu kemalangan berhampiran susur keluar tol Lebuhraya Utara Selatan arah utara, dekat Jelapang, di sini, siang tadi.

Dalam kejadian sekitar 2 petang itu, lelaki berusia 54 tahun berkenaan yang memandu kenderaan jenis Perodua Kembara difahamkan cuba untuk menukar laluan sebelum dirempuh bas ekspres yang menyebabkan kereta miliknya terbabas dan terbakar serta-merta.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Mohd Ali Tamby berkata, siasatan mendapati insiden itu berlaku apabila kenderaan mangsa dipercayai hendak mengubah laluan memasuki laluan bas ekspres.

"Bas ekpres berkenaan tidak sempat membrek lalu terlanggar bahagian belakang kenderaan mangsa dan menyebabkan kenderaan mangsa terbabas lalu melanggar penghadang kiri jalan dan terbakar.

"Mangsa maut akibat tersepit di tempat duduk pemandu dan rentung bersama-sama dengan kenderaan yang dipandunya," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Jumaat.

Bagaimanapun, pemandu bas ekspres itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh untuk bedah siasat.