Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Selasa memberi jaminan bahawa situasi keselamatan negara adalah kekal terkawal dan selamat pada hari pengundian Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata PDRM memberi komitmen yang tinggi dalam memastikan pilihan raya kali ini berjalan dengan aman dan tenteram.

"Tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang cuba menimbulkan provokasi yang melampau sehingga boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata proses penamaan calon pada 28 April lepas berjalan dengan lancar walaupun terkesan dengan beberapa insiden terpencil yang berjaya ditangani dengan baik.

"Dalam tempoh kempen, keadaan keselamatan tetap terkawal tanpa berlaku sebarang insiden yang boleh menggugat ketenteraman awam.

"Sehubungan itu, PDRM yakin proses pengundian akan berjalan dengan lancar dan rakyat akan menerima apa juga keputusannya kelak dengan penuh kematangan dan hati yang terbuka," katanya sambil menambah ini kerana ia merupakan keputusan yang dibuat oleh mereka sendiri dalam menentukan masa depan negara.

Mohamad Fuzi juga meminta rakyat Malaysia beramai-ramai menjalankan hak dan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.

"Mereka tidak perlu khuatir dan gusar akan keselamatan diri kerana PDRM akan memastikan proses pilihan raya berjalan dengan lancar dan selamat," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata PDRM mendapati penyebaran berita palsu semakin memuncak menjelang hari pengundian.

"Selain mengandungi berita palsu yang berbaur fitnah dan hasutan, terkesan juga berita membentuk persepsi akan berlakunya kacau bilau dan ketidaktenteraman awam jika pihak tertentu menang dalam pilihan raya nanti," katanya.

Justeru, beliau meminta rakyat supaya jangan mudah terpedaya dengan berita palsu yang bertujuan membangkitkan kegelisahan dan rasa takut.

Ini ekoran terdapatnya spekulasi yang cuba dibentuk pihak tertentu bahawa akan berlaku kacau-bilau yang mampu mengganggu gugat ketenteraman awam dan keselamatan negara, katanya.

-- BERNAMA