Seorang pegawai tadbir sebuah institusi pengajian tinggi awam di Terengganu direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah yang berjumlah lebih RM10,000.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret/Sesyen Kuala Terengganu Wan Aziantie Ab Karim@Isa hari ini.

Suspek yang berusia 40 tahun itu dikatakan meminta wang rasuah bernilai kira-kira RM10,500 daripada dua kontraktor sebagai balasan memilih syarikat tersebut bagi kerja-kerja pembekalan di universiti itu.

Perbuatan itu dilakukan pada sekitar tahun 2017 hingga 2018.

Terdahulu, suspek ditahan kira-kira jam 5.10 petang Selasa di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Terengganu ketika hadir memberi keterangan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.