Seorang pekebun durian didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan membunuh dan mengerat mayat teman wanitanya yang merupakan warga Indonesia, awal bulan lalu.

Tertuduh Loh Kui Khong, 54, hanya mengangguk faham sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Teoh Shu Yee dan tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan jenayah bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap seorang wanita warga Indonesia berusia 40 tahun di sebuah rumah tidak bernombor di sebuah kebun durian, Mukim Tanjung Minyak, Taman Bertam Impian diantara jam 12 tengah malam sehingga 9 pagi, 7 September lalu.

Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Prosiding dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal.

Shu Yee kemudian menetapkan 24 November depan bagi serahan dokumen dan sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki ditahan polis selepas didapati membunuh seorang wanita warga Indonesia di dalam kebun durian di Taman Bertam Impian, hasil laporan yang dibuat anaknya sendiri.

Siasatan di lokasi oleh pasukan polis kemudian menemui mayat yang dibungkus dalam plastik di sebuah bilik bahagian belakang rumah kosong itu, pada 10.47 malam.

Pemeriksaan forensik mendapati mayat wanita berkenaan dalam keadaan tidak sempurna kerana bahagian lutut kaki dipotong, selain ada kesan kelar di leher.