Seorang pekerja pelantar minyak didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas pertuduhan merogol anak saudaranya yang berusia 15 tahun.

Bagaimanapun, tertuduh yang berusia 38 tahun itu mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa yang berusia 15 tahun di sebuah rumah di Dungun pada 29 Februari lalu kira-kira pukul 8.15 pagi.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun dan dikenakan sebat tidak kurang daripada 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah turut membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Selain itu, mahkamah turut menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri dua kali setiap sebulan di Balai Polis Paka serta tidak boleh menganggu mangsa.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Mohd Izzat Wan Abdullah.