Keputusan cemerlang yang diperolehi oleh seorang pelajar Sekolah Menengah Agama (A) Maahad Amir Indera Petra, disini yang memperolehi 10A menjadi kenangan buat keluarganya selepas mangsa yang dalam perjalanan untuk mengambil keputusannya maut dalam kemalangan pagi tadi.

Mangsa Mohamad Iqbal Hafiz Mohamed Kauli, 17 tahun memperolehi keputusan cemerlang namun beliau terlebih dahulu dijemput Ilahi selepas motosikal yang ditungganginya terbabas sebelum merempuh pokok sekitar jam 8 pagi tadi.

Menurut ibunya, Nasturah Ab Ghani, 45 tahun, anak kedua dari empat adik beradik itu bersemangat untuk ke sekolah awal pagi tadi untuk mendapatkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Allahyarham merupakan anak yang taat dan rapat dengan keluarga serta mudah digauli.

"Malam tadi dia ada beritahu saya nak pergi ke sekolah. Saya kata ok lah nanti telefon beritahu saya tentang keputusannya nanti, pagi tadi pun dia sempat cuci motorsikalnya sebelum bergerak ke sekolah. Walaupun sedih saya reda dengan ketentuan ini," katanya ketika ditemui di sini.

Jenazah Allahyarham tiba di kediaman keluarganya di Kampung Seri Sentosa sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Beris Kubur Besar petang tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, kemalangan maut itu melibatkan sebuah motosikal terbabas sendirian yang disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berkata, mangsa seorang pelajar yang dalam perjalanan untuk mengambil keputusan SPM telah menunggang motosikal jenis Yamaha 135 ketika dalam perjalanan ke sekolahnya.

"Mangsa menunggang dari arah Kota Bharu menghala ke Beris Kubur Besar dalam keadaan jalan selekoh dan apabila sampai di tempat kejadian, mangsa gagal mengawal motosikal dan terbabas melanggar pokok di tepi kiri jalan.

Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.