Seorang pelajar perempuan Tingkatan Lima, maut setelah motosikal yang ditungganginya terbabit kemalangan dengan sebuah kereta dan treler di Jalan Seremban-Kuala Pilah, Ampangan dekat sini, pagi ini.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Muhamad Zaki Harun berkata dalam kejadian pukul 6.50 pagi itu, mangsa Dina Shuhadah Ahmad Fariz, 17, dari Taman Lavender Height dikatakan dalam perjalanan dari arah Kuala Pilah menuju ke Seremban apabila motosikalnya hilang kawalan setelah bergesel dengan sebuah kereta dari arah yang sama.

Katanya dalam masa yang sama terdapat sebuah treler melalui arah yang sama dan mangsa telah terjatuh bersama motosikalnya sebelum digilis dibahagian tayar belakang treler berkenaan.

Beliau berkata mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di badan dan kepala.

Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban untuk dibedah siasat.

Katanya pemandu kereta dan pemandu treler bagaimana pun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya siasatan masih dijalankan dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.