Hukuman ke atas pemandu mabuk ketika ini adalah 'tidak mencukupi'!

Itu ulasan Ahli Majlis Keselamatan Jalan Raya, Tan Sri Lee Lam Thye, yang mengalu-alukan cadangan kerajaan untuk mengkaji semula hukuman ke atas pemandu mabuk.

Jelasnya, Malaysia perlu mencontohi beberapa negara maju yang memandang serius terhadap kesalahan memandu dalam keadaan mabuk dengan mengenakan hukuman setimpal.

Beliau pada masa sama, menggalakkan pihak kerajaan untuk melihat semula pindaan. Ini kerana jelas beliau, hukuman yang dikenakan sekarang adalah tidak mencukupi dan tidak adil.

“Saya berpendapat bahawa hukuman ini memanglah tidak mencukupi. Oleh sebab itulah, masih ada orang yang tidak takut kepada undang-undang dan masih melakukan kesalahan itu.

“Penalti itu memanglah perlu ditingkatkan, agar ia menjadi satu pengajaran pahit kepada mereka yang terbabit.

“Saya rasa adalah pentingnya untuk Malaysia mempelajari atau mencontohi negara-negara lain terutama negara maju seperti Australia, United Kingdom, dan beberapa negara barat lain di mana apabila seseorang itu didapati bersalah memandu di bawah pengaruh alkohol.

“Ia satu perkara yang serius, dan mereka boleh dipenjarakan lama dan di samping itu, lesen memandu atau kelayakan memandu itu ditarik balik utnuk sesuatu tempoh yang agak panjang,” jelas beliau ketika dihubungi Astro AWANI pada Isnin.

Lee Lam Thye juga menjelaskan bahawa selain memperkasakan komuniti dengan memberi kesedaran terhadap satu sama lain, agensi berkaitan juga perlu menganjurkan kempen kesedaran besar-besaran dan berterusan bagi mendidik orang ramai tentang bahaya memandu dalam keadaan mabuk.

BACA: Amalkan budaya selamat ketika di lebuh raya, jalan utama - Lee Lam Thye

BACA: Tubuh pasukan petugas tangani kadar kematian penunggang motosikal - Lee Lam Thye