Pergerakan rentas negeri semalam merekodkan pematuhan yang tinggi selepas tiada kes pemandu dan keluarga masing-masing melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada masa sama berkata, keadaan trafik dilaporkan berjalan lancar sepanjang tempoh perjalanan berkenaan.

"Daripada laporan PDRM pergerakan rentas negeri berjalan lancar, tiada kesesakan teruk berlaku kecuali di Gua Musang semalam. Namun dapat dipulihkan dan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) juga kadar pematuhan tinggi, tiada tempat bersesak walaupun kemudahan tandas di R&R dibenarkan.

"Namun pemantauan PDRM mendapati semua berjalan lancar dan pematuhan pemandu adalah tinggi, tiada kes tidak patuh SOP PKP," katanya dalam sidang media di sini pada Sabtu.

PDRM telah memberi 76,537 kebenaran melalui aplikasi Gerak Malaysia dan 2,220 kebenaran melalui borang manual polis bagi mereka yang terkandas di Perak, Johor dan Kelantan untuk pulang ke kediaman mereka di negeri-negeri lain.

"Kebenaran rentas negeri hanya bagi perjalanan sehala sahaja. PDRM juga telah membuka 121 Sekatan Jalan Raya untuk memantau pergerakan rentas negeri. Laporan PDRM menunjukkan pergerakan rentas negeri dan aliran lalulintas semalam berjalan secara lancar. Tiada kesesakan luar biasa dikesan," tambahnya.

PDRM sebelum ini mengumumkan jadual perjalanan bagi pergerakan rentas negeri melibatkan mereka yang terkandas berikutan pelaksanaan PKP.

Bagi perjalanan pergerakan rentas negeri pada 8 Mei ini diperuntukkan untuk mereka yang berada di Perak, Johor dan Kelantan menuju ke destinasi masing-masing terutama di Kuala Lumpur.

Pada 9 Mei pula, pergerakan dikhususkan kepada mereka yang bergerak dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka dan Pahang.

Pada 10 Mei, pergerakan dikhususkan kepada mereka yang berada di Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu.