Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim mengemukakan usul tergempar susulan pencemaran kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor.

Dalam nada tegas, beliau merayu kepada Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin supaya Kerajaan Persekutuan mengisytiharkan darurat bencana di daerah tersebut dengan kadar segera.

Katanya, usul tergempar itu telah difailkan kepada Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof pagi tadi.

Beliau yang marah bercampur geram turut merayu supaya usul itu dibahas dan diputuskan hari ini juga.

“Sebagai Ahli Parlimen Pasir Gudang, saya mohon supaya Kerajaan Persekutuan isytiharkan darurat di Pasir Gudang mulai hari ini juga.

“Yang Berhormat (YB) Menteri, tolong saya. Pagi tadi saya telah hantar surat kepada Yang DiPertua (Dewan Rakyat) supaya usul tergempar dibentangkan di Parlimen pada hari ini, bukan hari Isnin akan datang.

“Saya minta soal teknikal diketepikan, ini soal nyawa. Saya minta usul darurat ini dibincang, dibahaskan hari ini,” tegasnya yang turut mendapat sokongan daripada ahli-ahli Parlimen yang hadir.



Bagaimanapun, Yeo berkata keputusan untuk pengisytiharan darurat bukan berada di tangan beliau sebaliknya ia perlu ditetapkan oleh Jawatankuasa Khas yang ditubuhkan untuk menangani bencana tersebut.

“Saya akan panjangkan pandangan Yang Berhormat (Pasir Gudang) sekalian kepada jawatankuasa.

“Keputusan ini bukan dibuat oleh saya seorang sendiri tetapi jawatankuasa.

“Saya memang ambil maklum dan akan memanjangkan dan akan buat keputusan secepat mungkin,” katanya menjawab rayuan yang dikemukakan Hassan.