Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta Kastam Diraja Malaysia diminta membawa segera peniaga yang melakukan kesalahan berkaitan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) ke muka pengadilan sebagai pengajaran kepada peniaga lain.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata rakyat mahu melihat keberkesanan penguatkuasaan undang-undang terhadap peniaga yang sengaja mengambil kesempatan dengan pelaksanaan GST, sehingga membebankan hidup mereka.

"Tolak dulu SST (Cukai Jualan dan Perkhidmatan) baru campur GST, ini peniaga yang beretika buat...peniaga yang tidak beretika buat dia tak tolak SST, dia campur dengan GST, jadi barang naik harga," katanya kepada pemberita selepas melawat bilik gerakan Barisan Nasional (BN) pusat daerah mengundi Pontian di sini, hari ini.

Beliau berkata antara kesalahan serius yang memerlukan tindakan undang-undang segera melibatkan peniaga yang mengenakan GST pada barangan yang dikecualikan selain memungut cukai berkenaan, namun tidak berdaftar untuk GST.

Ahmad berkata beliau difahamkan terdapat ratusan kes berkaitan kesalahan GST yang sedang disiasat pihak KPDNKK dan ia memerlukan tindakan pantas dari segi perundangan.

"Saya minta agar penasihat undang-undang kementerian itu agar segera menyiapkan kes, kita tahu ia (kes) akan dibawa kepada penasihat undang-undang kementerian dahulu untuk dilihat satu persatu, saya juga menggesa Kastam menyegerakan juga (tindakan)," katanya.

Ahmad yang juga Ketua Penerangan UMNO berkata sesi ceramah berhubung GST dijalankan secara berterusan bagi memberi penjelasan kepada masyarakat khususnya di sekitar Parlimen Rompin.

Dalam pada itu, beliau percaya penduduk Rompin akan membuat pilihan tepat dengan mengundi BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin, 5 Mei ini kerana calon parti itu, Datuk Hasan Arifin sememangnya diketahui mampu melaksanakan tugas dengan baik untuk meneruskan pembangunan di Rompin.

PRK Parlimen Rompin menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Hasan dan calon PAS Nazri Ahmad, bagi mengisi kekosongan kerusi itu berikutan kematian penyandangnya Tan Sri Jamaluddin Jarjis dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lepas.