Kementerian Dalam Negeri (KDN) merekodkan kira-kira RM410 juta kerugian dialami rakyat Malaysia melibatkan 8,489 kes penipuan atas talian yang dilaporkan diseluruh negara.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, bagi tempoh Januari hingga Ogos 2019, sebanyak 3,533 kes direkodkan dengan kerugian sebanyak RM186,027,122.72.

“Daripada jumlah kerugian yang dilaporkan bagi tahun 2019 tersebut, sebanyak RM79,483,843.43 kerugian adalah melibatkan Macau Scam sahaja dengan 1,612 kes telah dilaporkan.

"KDN memandang serius berhubung kes-kes yang melibatkan jenayah penipuan atas talian yang meliputi pelbagai kategori seperti penipuan melalui telefon dan internet, Love Scam, pinjaman tidak wujud dan Macau Scam,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (PH-Sabak Bernam) berhubung kes penipuan dalam talian melibatkan simpanan persendirian orang ramai di bank-bank Malaysia bagi tempoh 2019 dan langkah mengatasi jenayah itu.

Tambahnya, pelbagai usaha dijalankan polis untuk mengekang jenayah seumpama itu termasuk meningkatkan penguatkuasaan undang-undang, pengoperasian, tangkapan dan pendakwaan ke atas mereka yang terlibat dalam aktiviti penipuan.

“Pihak PDRM juga telah membangunkan satu portal untuk memudahkan masyarakat untuk menyemak nombor-nombor telefon sindiket dan akaun-akaun bank yang digunakan oleh sindiket dalam urusan pindahan wang mangsa ke akaun sindiket yang boleh disemak melalui portal http://ccid.rmp.gov.my/semakmule.

“Selain itu, satu akaun facebook ‘Cyber Crime Alert Royal Malaysia Police’ juga telah diwujudkan bagi berkongsi dan memberi amaran kepada orang ramai mengenai ancaman penipuan atau jenayah siber. Ini dapat membantu orang awam dengan membuat semakan awal dan mengelak daripada menjadi mangsa penipuan,” katanya.

Malah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga telah menubuhkan satu task force yang dinamakan “Internet Banking Task Force Group” yang terdiri daripada PDRM, syarikat-syarikat telekomunukasi serta Institusi bank-bank tempatan sejak tahun 2004.

Selain itu, pada bula Mac 2019 sebuah Jawatankuasa Teknikal Jenayah Siber yang terdiri daripada PDRM dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia juga telah ditubuhkan bagi membanteras jenayah penipuan ini.