Malang tidak berbau buat dua peragut selepas dibelasah gara-gara meragut seorang wanita, petang semalam.

Kedua-dua mereka gagal meloloskan diri apabila kegiatan mereka disaksikan orang awam.

Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Shafien Mamat, kejadian berlaku di sebuah hentian bas, berhampiran Seksyen 17, Shah Alam sekitar 7 petang Khamis.

"Kedua-dua lelaki berkenaan menunggang sebuah motosikal dan bertindak meragut seorang wanita yang sedang menunggu bas," kata Shafien.

Orang ramai yang melihat jenayah berkenaan, segera menyelamatkan mangsa dan kemudian mengejar suspek.

Seorang daripada suspek berusia 36 tahun cedera di hidung dan dibawa ke Hospital Shah Alam.

Dia disahkan dalam keadaan mabuk. Manakala seorang lagi suspek berusia 45 tahun tidak mengalami kecederaan.

Sehingga kini tiada laporan polis difailkan mangsa yang dipercayai warga Myanmar yang menghilangkan diri selepas kejadian.

Motosikal suspek disita dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.