Polis Diraja Malaysia (PDRM) menetapkan empat hari mulai Khamis hingga Ahad ini, bagi membolehkan orang ramai bergerak rentas negeri dan kembali ke kediaman masing-masing dari seluruh negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamad, langkah tersebut bagi mengelakkan orang ramai tiba serentak pada lokasi-lokasi tertentu khususnya di Kuala Lumpur.

Pergerakan kumpulan pertama pada 7 Mei adalah melibatkan mereka yang terkandas di Kuala Lumpur untuk pulang ke kediaman di negeri lain seluruh negara.

(Sementara) pada 8 Mei hari Jumaat pergerakan mereka di Perak, Johor dan Kelantan.

"Seterusnya pada 9 Mei melibatkan mereka yang berada di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang, Melaka dan Pahang.

"Hari keempat iaitu 10 Mei, merangkumi pergerakan mereka di Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau mengingatkan orang ramai bahawa beberapa kemudahan dan fasiliti di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) tidak akan beroperasi sepanjang tempoh pergerakan rentas negeri itu.

Ia termasuklah kemudahan surau di sepanjang lebuh raya dan R&R akan ditutup, sebaliknya hanya tandas awam sahaja yang dibenarkan dibuka.

Selain itu, operasi kedai makan turut dilarang, ujarnya.

"Kawasan letak kereta hanya untuk tujuan rehat dan pengguna yang singgah tidak dibenarkan keluar dari kenderaan masing-masing, kecuali untuk menggunakan tandas awam," katanya.

Tambah beliau lagi, stesen minyak di lebuh raya pula hanya beroperasi mulai jam 6 pagi hingga 12 tengah malam sahaja.

"Pengguna lebuh raya juga dilarang melakukan sebarang aktiviti secara berkumpulan dalam tempoh kebenarakan pergerakan tersebut," katanya.

Beliau turut menyarankan supaya orang ramai memulakan perjalanan pada waktu malam.