PEMBERDAYAAN masyarakat atau ‘community empowerment’ dan ketahanan masyarakat atau ‘community resilience’ perlu menjadi teras dalam kalangan rakyat ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang akan bermula 4 Mei ini.

Pemberdayaan masyarakat atau ‘community empowerment’ ialah proses yang membolehkan masyarakat meningkatkan kawalan terhadap kehidupan mereka.

Ini bermakna masyarakat memantau diri mereka dan mengambil tindakan apabila perlu.

Kini masyarakat sudah tahu melalui media dan laporan harian Kementerian Kesihatan Malaysia mengenai cara mencegah penyakit ini iaitu:

1. Penjarakan sosial

2. Guna topeng mulut dan hidung apabila keluar

3. Guna cecair nyah kuman (hand sanitiser) dan basuh tangan menggunakan sabun

4. Jaga kebersihan diri

5. Elakkan tempat tumpuan ramai

6. Bersenam untuk kekal aktif dan sihat

7. Jika ada demam, selsema, batuk perlu ke klinik

8. Jika ada terdedah kepada pesakit COVID-19, perlu laporkan kepada pusat krisis

Berikut saranan tambahan yang boleh anda lakukan:

9. Jika anda ada penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, sakit jantung, kanser, sakit buah pinggang, lelah dan lain-lain penyakit yang melemahkan sistem imun dan jika berumur lebih 60 tahun, perlu lebih berjaga-jaga. Pastikan patuh kepada pengambilan ubat dan teruskan berjumpa doktor pada masa yang ditetapkan. Kurangkan keluar dari rumah jika tidak perlu.

10. Individu dan keluarga perlu menjaga pemakanan. Pastikan banyak mengambil buah-buahan dan sayur-sayuran untuk membina sistem imun yang kuat.

11. Jika dibenarkan keluar dari rumah untuk bersenam di padang atau di kawasan perumahan, hanya satu keluarga dari satu rumah boleh berada rapat tetapi dengan yang lain perlu penjarakan 2 meter.

12. Jika berkemampuan, pergi buat saringan dengan pembiayaan sendiri, sebab kerajaan hanya mampu untuk membuat saringan percuma kepada yang berkemungkinan terdedah dan secara rambang, tetapi tak dapat melakukannya untuk semua. Jika mampu, kita tolong kerajaan.

13. Untuk individu yang menjadi majikan atau ketua jabatan, mereka boleh membantu dengan memantau staf di bawah jagaan mereka.

Di pintu masuk tempat kerja, boleh diadakan ‘checkpoint’ suhu dan hand sanitiser. Yang demam dihantar ke klinik. Tempat duduk ada penjarakan sosial. Galakkan semua staf memakai topeng mulut dan hidung selain menjaga kebersihan diri. Jika berkemampuan, bantu semua kakitangan pergi ujian saringan COVID-19. Kita tolong lengkapkan statistik negara dalam ujian penyaringan COVID-19 ini. Terutama untuk majikan spa, gunting rambut, tempat pemakanan dan lain lain yang melibatkan `close contact’ dengan pelanggan, perlu pergi buat saringan.

14. Ketua komuniti, contohnya ketua kawasan perumahan atau ketua premis, perlu lebih bertanggungjawab dalam kepatuhan kepada SOP. Jika ada pelanggaran, mereka perlu memaklumkan dan mengambil tindakan.
Dengan cara ini kita dapat mewujudkan ketahanan masyarakat dalam krisis ini iaitu kemampuan berterusan komuniti untuk menggunakan sumber daya yang ada untuk bertindak balas, bertahan dan pulih dari situasi bencana.

Dari segi ini, masyarakat Malaysia sudah enam minggu berada di dalam PKP, oleh itu ketahanan ini bermakna mereka sudah boleh membuat `self policing’ dan ‘self surveillance’.

Kita tahu setakat ini yang patuh PKP ialah 97 peratus, bermakna rakyat Malaysia patuh dan berdisiplin.

Kita dengar dan kita faham. Dengan itu, kita boleh bantu pihak polis dan petugas kesihatan dalam memantau dan membaik pulih keadaan.

Kepercayaan perlu disalurkan kepada rakyat, didahului dengan informasi yang tulus, tepat dan terkini melalui media massa.



* Penulis ialah Ketua Kluster Kesihatan dan Perubatan, Akademi Profesor Malaysia

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.