Sebanyak 38 kes anjing dan kucing peliharaan dibuang dilaporkan di ibu negara ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, kata Presiden Persatuan Haiwan Malaysia Arie Dwi Andika.

Beliau berkata kucing Parsi dan tempatan, antara baka kucing yang dilihat berkeliaran di tepi jalan dipercayai dibuang oleh pemilik mereka.

"Kami menerima maklumat tersebut daripada orang ramai dan aktivis haiwan menerusi mesej WhatsApp," katanya.

Arie berkata anjing baka kacukan, yang sebahagiannya mempunyai kolar turut ditemui di tepi jalan dan kelihatan tidak terurus, kebanyakannya merindukan pemilik serta hidup dalam ketakutan.

BACA: Pembuangan haiwan peliharaan meningkat semasa PKP - Persatuan haiwan

Mengulas lanjut, Arie percaya haiwan peliharaan tersebut dibuang oleh tuan mereka kerana dipercayai ia boleh membawa jangkitan COVID-19.

"Bagaimanapun, menurut Jabatan Perkhidmatan Veterinar haiwan peliharaan tidak membawa jangkitan COVID-19. Orang ramai tidak seharusnya mengabaikan haiwan peliharaan mereka memandangkan tidak ada bukti yang menyatakan kucing, anjing atau haiwan peliharaan lain boleh menyebarkan virus tersebut," katanya.

Sementara itu pada 7 April, Jabatan Perkhidmatan Veterinar menjelaskan meskipun jangkitan COVID-19 terhadap manusia adalah tinggi, namun dalam kalangan haiwan adalah kes terpencil kerana haiwan tidak mendapat jangkitan virus tersebut secara semula jadi.

Menurut jabatan itu, punca jangkitan pada haiwan adalah daripada manusia.

-- BERNAMA