Nasib jurugambar perkahwinan sama ada mereka dibenarkan beroperasi mengikut prosedur operasi standard (SOP) seperti sektor lain atau sebaliknya pada tempoh pandemik ini akan diketahui, Selasa depan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu, perkara itu akan dibincangkan dalam Mesyuarat Khas Menteri-menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) nanti.

Beliau menjelaskan, banyak permohonan diterima termasuk daripada penjaja pasar malam, pasar pagi dan terbaharu jurugambar.

"Saya akan bangkitkan isu ini dalam Mesyuarat Khas Menteri-menteri pada Selasa ini supaya melihat dengan teliti," katanya pada sidang akhbar di Putrajaya di sini, pada Ahad.


Permohonan jurugambar ini diterima selepas 10 hari kerajaan bersetuju untuk membenarkan aktiviti penggambaran dilakukan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Dalam pada itu, Ismail menjelaskan, susulan permohonan daripada persatuan penjaja termasuk peniaga pasar malam dan pasar pagi, dua hari lalu, beliau telah meminta persatuan itu berbincang dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP).

"Seperti yan diumumkan 9 Mei ini adalah tarikh akhir PKPB, namun demikian kita belum tahu sama ada PKPB akan disambung lebih lama atau sebaliknya.

"Saya pasti selepas 9 Mei ini, mungkin akan ada banyak sektor yang dibuka. Kita akan bincangkan," ujarnya.

Dalam pada itu, Ismail menambah, sehingga Ahad sebanyak 56,445 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) telah dihantar pulang ke kampung masing-masing.

Beliau berkata, Kementerian Pengajian Tinggi kini sedang membuat perancangan untuk menghantar baki 1,986 pelajar lagi yang masih berada di kampus dalam masa terdekat.

Hari ini sahaja jelasnya, seramai 358 pelajar dijadualkan pulang ke kampung masing-masing menerusi tiga penerbangan iaitu Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu (165 pelajar), Kuching ke Kota Kinabalu (166 pelajar) dan Kota Kinabalu ke Kuala Lumpur (27 pelajar).