Satu delegasi khas dari Malaysia bersama bantuan kemanusiaan berlepas ke Hospital Medan Malaysia di Cox's Bazar, Bangladesh hari ini

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hadir untuk menyempurnakan misi bantuan terbabit di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang sebelum mereka berlepas pada jam 9 pagi.

Misi berkenaan disertai seramai 57 orang termasuk wakil daripada Pejabat Perdana Menteri dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Delegasi itu diketuai Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Duta Muhibah Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) Tan Sri Michelle Yeoh.

Ia bertujuan menilai impak bantuan yang diberikan sehingga kini.

Selain itu, misi tersebut juga bertujuan untuk memastikan Hospital Medan Malaysia dilengkapi sumber mencukupi bagi membantu pelarian Rohingya.

Datuk Seri Najib berkata Malaysia kekal komited untuk membantu pelarian Rohingya.

"Usaha ini akan terus kita lakukan untuk membantu pelarian Rohingya.

"Inisiatif ini juga disokong kerajaan Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang akan memberi bantuan dalam menyediakan peralatan serta bekalan perubatan di hospital itu," katanya.

Turut hadir, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.