Tiga lelaki dipercayai terlibat sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah jenis ganja ditahan dalam beberapa serbuan di sekitar Kuala Selangor pada Ahad.

Serbuan yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman bersama Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (Sting) itu berjaya merampas ganja seberat 469 kilogram.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Seri Mokhtar Sharif berkata dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM2 juta.

"Kami percaya rampasan ini adalah untuk penagih-penagih di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur dan dipercayai diseludup dari negara jiran.

"Kita percaya ada lagi rakan-rakan mereka yang sekarang ini sudah menyembunyikan diri, tetapi polis akan mengesan mereka," katanya dalam sidang media rampasan dadah di Bukit Aman, hari ini.

Selain itu, polis turut merampas wang tunai bernilai RM1,300 dan tiga kenderaan yang digunakan suspek untuk membawa ganja tersebut.

Mokhtar juga memberitahu, ketiga-tiga suspek positif ujian air kencing dan dua daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau.

Suspek merupakan dua lelaki Melayu dan seorang lelaki India berusia lingkungan 30 tahun.

Kesemua suspek direman di bawah Seksyen 39 (b) Akta Dadah Berbahaya 1952 selama tujuh hari sehingga 11 Oktober ini.

Tambahnya, kejayaan ini hasil kerjasama erat daripada masyarakat dengan Polis Diraja Malaysia khususnya Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik bersama pasukan Sting bagi memastikan segala aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah dapat dilumpuhkan.