Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan memperkenalkan Polisi Keselamatan Siber Kebangsaan menjelang suku pertama tahun hadapan.

Menterinya Gobind Singh Deo berkata, polisi itu bagi menangani cabaran baharu dalam era ekonomi digital di mana pesalah siber dilihat semakin kreatif dalam kegiatan mereka.

“Ancaman ini termasuk pencurian data, maklumat dan pengintip siber yang memberi risiko kepada organisasi dan kerajaan.

“Entiti korporat juga terdedah dengan kerugian tinggi kerana pesalah siber ini mengeksploit identiti untuk berkomunikasi, mengambil dana dan menyebarkan propaganda masing-masing,” kata Gobind ketika berucap dalam perasmian Persidangan Strategi Keselamatan Siber Kebangsaan di sini, pada Isnin.

Dalam pada itu, Gobind berkata, beberapa strategi dalam perbincangan termasuk menjadikan Malaysia sebagai peneraju di ASEAN dalam sumber forensik dan analisis keselamatan siber.

“Selain itu, Malaysia juga akan terus melahirkan bakat berpendapatan tinggi serta menaik taraf keselamatan siber demi memastikan pertumbuhan ekonomi digital,” katanya.

Gobing yakin industri keselematan siber dapat terus diperkasa dengan kerjasama semua pihak berkepentingan termasuk organisasi dan badan agensi dalam negara.