Kerajaan dicadang memberi satu kepastian untuk keselamatan penunggang Dego dalam tugasan penghantaran barangan semasa musim COVID-19.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Dego Ride, Nabil Feisal Bamadhaj berkata, kepastian berkenaan amat diperlukan berikutan kebimbangan penunggang berkenaan terhadap aspek keselamatan terutama pada masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kini.

"Dari segi pengangkutan untuk teksi e-hailing mencatat penurunan drastik daripada 98 peratus untuk pengangkutan tetapi dari segi penghantaran barang dan makanan ia meningkat mendadak.

"Tetapi masalah adalah ramai penunggang tidak berani kerja takut sekatan jalan raya dan takut terjejas keselamatan mereka," katanya dalam rancangan Buletin AWANI pada Rabu.

Dalam pada itu kata Nabil, pihaknya mengamalkan pemeriksaan keselamatan kepada penunggang selain melihat kumpulan itu harus dibantu semasa PKP.

"Saya rasa mereka perlukan bantuan langsung kerana golongan penunggang ini bekerja atau mengambil pekerjaan penunggang ini sebagai pekerjaan kedua dan ketiga. Pada waktu PKP ini mereka tidak dapat menjalankan kerja biasa.

"Pada waktu lapang biasanya mereka melakukan kerja dengan syarikat untuk mendapatkan kira-kira RM900 sehingga RM1,500 sebulan untuk menampung keadaan.

"Tetapi pada waktu ini saya rasa mereka perlu sesuatu daripada kerajaan untuk menampung situasi seperti PKP," ujarnya.