BERIKUT merupakan rangkuman lima berita utama 22 Januari:

Tiada kerjasama langsung dari pihak kedutaan Korea Utara - KPN

Tiada kerjasama langsung dari pihak kedutaan Korea Utara dalam siasatan kes pembunuhan Kim Jong Nam, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Khalid juga memaklumkan pihaknya kini sedang mengesan tiga lagi individu yang disyaki terlibat dalam pembunuhan pemimpin Korea Utara itu.

WhatsApp ada ciri 'story' seperti Instagram?

Sempena ulang tahun yang ke-8, aplikasi sosial WhatsApp mengemaskini aplikasi sosialnya dengan memperkenalkan ciri terbaharu ‘WhatsApp Status’.

Ia membolehkan pengguna untuk skrol kandungan ‘story’ seperti Instagram dan juga Snapchat.

Malaysia perlu sasar kedudukan 20 terbaik dalam indeks inovasi dunia

Malaysia perlu menetapkan sasaran untuk meningkatkan kedudukannya dalam Indeks Inovasi Global daripada tempat ke-35 pada 2016 kepada kedudukan 20 terbaik, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata sasaran perlu lebih tinggi memandangkan jika persepsi dunia meningkat, pasaran produk Malaysia juga pasti akan meningkat.

KPM akan kenal pasti punca pelajar gemar lakukan aktiviti waktu malam

Kementerian Pendidikan akan mengadakan sesi perbincangan dengan ibu bapa serta guru bagi mengenal pasti punca pelajar gemar melakukan aktiviti waktu lewat malam sehingga menjejaskan proses pembelajaran.

Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P. Kamalanathan berkata pihaknya menerima apa sahaja pandangan dan cadangan bagi mengatasi masalah dan untuk menambah baik sistem pendidikan negara.

Pakar pendakian diramal teruskan dominasi jersi kuning

Pakar pendakian dijangka meneruskan penguasaan jersi kuning (juara keseluruhan) apabila kejohanan berbasikal terulung Asia, Le Tour de Langkawi (LTdL) 2017 bermula secara rasmi di sini, hari ini.

Pasukan Manzana Postobon dari Colombia yang tampil kali pertama dijangka menjadi antara pasukan yang perlu diberi perhatian memandangkan sebahagian besar daripada enam pelumbanya merupakan pakar pendakian dengan purata umur mereka adalah 24 tahun.