Padah tidak mematuhi undang-undang jalan raya, seorang penunggang motosikal maut akibat digilis sebuah treler yang membawa muatan cerucuk di Jalan Tetembok di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.40 pagi itu, mangsa seorang lelaki berusia 20 tahun, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada badan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Che Zaimani Che Awang berkata laluan terbabit adalah terowong dan motosikal sebenarnya dilarang menggunakannya.

Namun, berdasarkan siasatan dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), penunggang motosikal jenis Yamaha 125ZR itu dikatakan telah memasuki laluan berkenaan sebelum terbabas dan melanggar hadapan treler itu.

Kata Che Zaimani, treler berkenaan datang dari arah Lumut, Perak, dalam perjalanan menghala ke Air Itam, untuk menghantar muatan pembinaan.

Akibat pertembungan itu, mangsa yang berasal dari Kupang, Kedah, telah terperosok di bawah treler dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Laluan terbabit adalah terowong dan motosikal sebenarnya dilarang menggunakannya. - Foto PDRM

Che Zaimani berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat dan polis juga sudah menghubungi waris mangsa.

Pihak polis juga masih mengesan saksi kejadian untuk membantu siasatan dan meneliti rakaman CCTV kes kemalangan tersebut.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.