Kerajaan Sarawak akan memperhalusi kaedah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seperti yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata pelaksanaan kelonggaran itu harus dikaji dengan teliti mengikut keperluan negeri ini dengan mengambil kira semua aspek.

Selain itu, kata Abang Johari Kerajaan Sarawak akan terus berusaha untuk memastikan ekonomi negeri mampu berkembang walaupun berdepan situasi sukar dalam tempoh jangka panjang.

"Saya akan umumkan program jangka panjang untuk memulihkan ekonomi Sarawak pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk manfaat semua rakyat negeri itu.

"Sudah tentu ekonomi pasca COVID-19 akan berubah dan saya akan membuat pengumuman selepas mengadakan perbincangan dengan pihak yang berkepentingan," katanya dalam perutusan khas sempena Hari Pekerja 2020 pada Jumaat.

BACA: Buka semula sektor ekonomi Sarawak, JPBN akan bincang dengan Abang Johari

Kenyataan itu juga sebagai respon kepada keputusan Kerajaan Persekutuan untuk membuka semula operasi sektor ekonomi di seluruh negara bermula 4 Mei ini.

Beliau mengakui bahawa tahun ini merupakan tahun yang amat sukar bagi semua golongan pekerja di semua bidang.

Setakat ini Malaysia katanya telah masuk fasa keempat PKP yang ternyata menjejaskan sektor ekonomi membabitkan keseluruhan perniagaan dan industri, khususnya di Sarawak.