Sektor pelancongan perubatan di Sarawak sedang berkembang dan akan memberi banyak manfaat kepada industri pelancongan negeri, kata Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Beliau berkata ia turut menyumbang kepada kewujudan peluang-peluang lumayan kepada hospital-hospital swasta dan profesional perubatan tempatan.

"Pada 2018, Sarawak mencatat 48,900 kedatangan pelancong perubatan ke negeri ini bagi menjalani pemeriksaan kesihatan dan rawatan perubatan dengan jumlah resit perbelanjaan RM67.10 juta.

"Majoriti pelancong perubatan ini adalah dari Pontianak dan Jakarta, Indonesia yang berjumlah 41,000 orang pada 2018," katanya semasa menggulung perbahasan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Beliau menambah, dengan pelancaran beberapa hospital swasta baharu seperti Pusat Perubatan Borneo, Miri; Hospital Pakar KPJ Miri dan Hospital Pakar Miri, Sarawak dijangka menerima kedatangan lebih ramai pelancong perubatan.

Dari Januari hingga Mac tahun ini, kedatangan pelancong perubatan ke Sarawak adalah sebanyak 1,117,843 orang, yang menunjukkan peningkatan 3.93% berbanding tempoh sama 2018 (1,075,560).

Lima sumber tertinggi pelancong perubatan bagi Sarawak adalah Brunei Darussalam dengan 304,823 orang, Indonesia (94,303 orang), Filipina (14,419 orang), China (9,983 orang) dan Singapura (9,024 orang).

Dengan pelancaran kempen Melawat Sarawak, Sarawak dijangka menerima kedatangan lima juta pelancong pada 2019 dan RM8.18 bilion daripada resit pelancongan.

-- BERNAMA