Kerajaan Selangor memperuntukkan RM7.8 juta bagi program pembangunan masyarakat maju dan progresif khusus untuk golongan wanita.

Sehubungan itu, dalam Bajet Selangor 2018 yang dibentangkan Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini, jumlah berkenaan akan disalurkan melalui inisiatif program seperti Institut Wanita Berjaya dan Pusat Wanita Berdaya.

Bagi kesinambungan pembangunan usahawan di negeri itu, Mohamed Azmin turut mengumumkan tambahan RM3 juta kepada RM8.35 juta bagi pembangunan usahawan pada 2018.

"Antaranya RM2.25 juta bagi Dana Usahawan Mikro di sembilan daerah di negeri itu. Bagi pembangunan infrastruktur luar bandar, Selangor memperuntukkan RM48.95 juta," katanya ketika membentangkan Bajet 2018 Selangor di Shah Alam pada Jumaat.

Mohamed Azmin turut mengumumkan pembentukan pelan tindakan khas bagi pembangunan kampung di dalam bandar dengan bajet RM5 juta.

Katanya, perkara itu bertujuan membangun kampung baru, kampung bagan dan kampung tersusun di beberapa daerah.

"Bagi pengangkutan awam, RM30 juta diperuntukkan bagi mempertingkatkan sistem pengangkutan awam bandar dan luar bandar," katanya.