Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Kedah meminta pemandu yang memiliki lesen terbang supaya menyerah diri secara sukarela kepada JPJ sebelum 12 Oktober ini.

Itu peringatan terakhir Pengarah JPJ Kedah, Ismasuhaimi Shariff terhadap individu dan organisasi yang mengeluarkan lesen terbang supaya segera berbuat demikian sebelum mereka ditangkap.

Setakat ini, dua individu direkod menyerah diri secara sukarela.

"Setakat ini penyerahan sukarela di Kedah ada dua kes, satu di Baling dan satu lagi di Langkawi. Mereka yang menyerahkan lesen secara sukarela akan dipanggil sebagai saksi dan tangkapan akan dibuat,"

Sementara itu, dalam usaha memburu saki baki pesalah yang memiliki lesen terbang, JPJ turut melakukan beberapa operasi besar-besaran di seluruh negeri, antaranya “Ops Tutup”.

Turut dilakukan JPJ adalah “Ops Pewa” yang menyasarkan warga asing yang memandu tanpa lesen dan melebihi had kelajuan yang ditetapkan.

Ismasuhaimi berkata demikian ketika melancarkan siri pembukaan tender nombor plat KEQ 1-KEQ 9999 bertempat di Kompleks JPJ Kedah, di Suka Menanti, dekat sini, siang tadi.

Tawaran ini dibuka kepada orang awam bermula hari ini hingga 15 Oktober.

JPJ Kedah yakin KEQ 1 dijangka memperoleh bidaan tertinggi yang dianggarkan melebihi RM150,000.

Jualan nombor pendaftaran bagi siri KEP sebelum ini mencapai RM899,347 dengan bidaan tertinggi adalah bagi plat KEP 1 bernilai RM150,000.

Secara keseluruhan, siri KEN mendapat jualan keseluruhan tertinggi iaitu sebanyak RM4.13 juta, diikuti siri KEE sebanyak RM1.87 juta, manakala nombor pendaftaran yang mendapat bidaan tertinggi adalah KEN 1 iaitu RM510,000.