Siasatan menyeluruh sedang dijalankan bagi memahami punca letupan yang menyebabkan tiga pekerja terbunuh semasa melakukan kerja-kerja penyelenggaraan sebuah tangki minyak setinggi 4.26 meter di kilang Lafarge Malaysia di Rawang, semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Lafarge Malaysia, Thierry Legrand, berkata syarikat simen dan bahan binaan itu bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan dalam melakukan siasatan itu.

"Dengan rasa dukacita, kami ingin memaklumkan bahawa mayat tiga rakan sekerja kami telah ditemui dalam tangki minyak yang musnah itu.

""Kami berasa amat sedih dengan tragedi ini dan keutamaan kami kini adalah terhadap pekerja itu dan keluarga mereka," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat yang dijalankan dengan pihak polis serta Jabatan Bomba dan Penyelamat dimulakan sejurus selepas kebakaran itu dipadamkan kira-kira 5 petang semalam, dan ia berterusan sepanjang malam tadi.

Mayat pertama ditemui kira-kira 3.45 petang, diikuti mayat kedua pada 5 petang dan ketiga pada 6 petang.

"Mayat-mayat itu sedang dikenal pasti oleh pihak berkuasa," kata Legrand.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang semalam, Mohd Ziehafizan Abd Rahman, 28, Zamri Adenan, 35, dan T. Baskaran, 49, sedang melakukan kerja-kerja penyelenggaraan di tangki minyak itu apabila tiba-tiba berlaku letupan, dan mereka dipercayai terjatuh ke dalam tangki yang terbakar itu.

Susulan kejadian itu, pasukan penyelamat perlu mengeluarkan 725,000 liter diesel daripada tangki berkenaan bagi mencari mangsa tersebut.

-- BERNAMA