Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan memaklumkan keperluan mengadakan pilihan raya kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar, Selangor berikutan kematian wakil rakyatnya selepas menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Pengerusi SPR Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah dalam satu kenyataan hari ini berkata SPR mengambil maklum laporan mengenai kematian penyandang kerusi berkenaan Kamarol Zaki Abdul Malik hari ini.

Berikutan itu, SPR akan menunggu pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Selangor mengenai kematian itu dan kekosongan luar jangka kerusi berkenaan selaras dengan peruntukan Perkara LXX (5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor, katanya.

Menurutnya, tarikh hari pertama sesi persidangan DUN Selangor adalah pada 21 Jun 2013 iaitu selepas pilihan raya umum ke-13 pada 2013.

"Berkaitan keperluan mengadakan PRK bagi kerusi DUN ini, ia akan dimaklumkan kelak oleh SPR selepas menerima pemakluman rasmi daripada YB Speaker DUN Selangor selaras dengan peruntukan Undang-undang Tubuh Negeri tersebut," katanya.

Kamarul Zaki, 58, dipercayai meninggal dunia akibat masalah jantung selepas ditemui tidak sedarkan diri di kediamannya di Sabak Bernam kira-kira 8 pagi tadi.

Pada pilihan raya umum lepas, Kamarol Zaki yang mewakili Barisan Nasional menewaskan calon PAS, Wahid Rais dengan majoriti 1,416 undi.

-- BERNAMA