Potensi sebenar Pulau Pangkor sebagai antara destinasi pelancongan utama dalam negara dapat diserlahkan dengan pemberian status pulau bebas cukai.

Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu berkata usaha itu juga selari dengan tumpuan kerajaan negeri untuk memacu sektor pelancongan di Perak.

"Kerajaan negeri amat menyokong langkah proaktif kerajaan Persekutuan untuk membangunkan sektor pelancongan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat semalam mengumumkan Pulau Pangkor sebagai pulau bebas cukai.

Mengenai perkongsian 50 peratus hasil kutipan bagi cukai pelancongan antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri, Ahmad Faizal berkata ia adalah tindakan terbaik untuk membantu meningkatkan hasil kerajaan negeri.

Menyentuh mengenai penubuhan Amanah Pelaburan Hartanah bagi Lapangan Terbang (REIT) pula, Ahmad Faizal berkata ia pastinya memberi impak positif kepada Perak memandangkan negeri itu merancang untuk membina sebuah lapangan terbang baharu bertaraf antarabangsa.

Katanya, cadangan yang pertama seumpamanya di dunia itu adalah sangat baik kerana Perak juga komited menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di sini.

"Kedua-dua usaha itu adalah untuk menarik kehadiran lebih banyak pelancong dari dalam dan luar negara, seterusnya mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan, " katanya.

Semalam, Lim turut mengumumkan pelabur skim REIT berkenaan memperoleh pulangan fi pengguna yang dikutip daripada pemegang konsesi pengurusan lapangan terbang iaitu Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Pada 12 Okt, Ahmad Faizal membayangkan cadangan untuk membina lapangan terbang baharu di Tapah atau Behrang kerana ia didapati lebih sesuai, berbanding cadangan awal di Seri Iskandar.