Pemuda UMNO membangkitkan persoalan kenyataan siapa yang perlu dipercayai berhubung isu tajaan lawatan polis ke Turki.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kenyataan dua menteri, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng tidak selari.

"Nampaknya Guan Eng seperti biasa cuba mengalihkan isu syarikat judi menaja Lawatan Pegawai Tertinggi PDRM dengan menyalahkan kerajaan terdahulu kononnya lawatan tersebut telah diluluskan pada 2017.

"Peliknya Muhyiddin sendiri mengakui telah meluluskan lawatan tersebut sebagaimana dilaporkan akhbar kelmarin atas alasan diperlukan oleh PDRM.

"Jadi kenyataan siapa yang patut rakyat percaya, Guan Eng yang sebelum ini banyak tersalah lapor termasuk isu hutang negara dan salah titik perpuluhan ataupun Muhyiddin?," tanyanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.

Terdahulu semalam, Guan Eng mengesahkan tajaan lawatan kerja Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan beberapa pegawai kanan polis ke Turki telah diluluskan sejak 2017 lagi oleh Lembaga Pengarah syarikat berkanun, Totalisator Malaysia.

Menurut Guan Eng, lembaga pengarah itu tidak merujuk kepada kementeriannya berhubung lawatan bernilai RM184,685 itu dan beliau mengakui hanya mengetahui perkara berkenaan selepas membaca laporan akhbar.

TONTON: Tajaan lawatan PDRM ke turki dilulus pada 2017 - Guan Eng

Sebelumnya, Muhyiddin mengesahkan lawatan kerja itu telah mendapat kelulusannya yang bertujuan mempelajari kaedah membanteras perjudian online sekali gus menafikan dakwaan lawatan Mohamad Fuzi itu atas urusan peribadi.

Dalam pada itu, Asyraf berkata, rakyat tidak boleh diperbodohkan dengan dakwaan bahawa lawatan itu telah diluluskan pada tahun 2017 zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN).

"Lagi satu takkanlah rakyat nak diperbodohkan lagi sekali. Lawatan diadakan tahun 2019 tapi diluluskan tahun 2017.

"Waktu itu Tan Sri Fuzi pun baru dilantik Ketua Polis Negara. Bak kata makcik yang videonya tular waktu PRK di Cameron Highlands baru-baru ini, 'makcik tak percaya kalau setakat janji mulut, makcik nak tengok bukti surat lawyer!'," katanya.