Pemuda Amanah tidak perlu mendesak Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) letak jawatan kerana kami sudah cukup matang untuk menentukan kepimpinan, ujar Setiausaha Agung MBM, Ahmad Saparudin Yusup.

Jelasnya, semua pihak perlu memberi masa dan ruang kepada MBM dan rangkaiannya untuk melakukan proses neutralisasi dalam pertubuhan belia itu.

"Beri ruang dan masa kepada kita untuk membuat pengubahsuaian tersebut. Tidak perlu ada desakan seperti dari Pemuda Amanah ini.

"Ada pertubuhan yang melaksanakan AGM mereka sebelum Pilihanraya Umum lagi. Tempoh jawatan itu ada setahun, dua, dan tiga tahun jadi tempoh masa itulah perlu ada adjustment," katanya semasa dihubungi Astro AWANI hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Saparudin berkata, proses pemilihan kepimpinan MBM akan dilakukan pada tahun ini.

"Perwakilan akan menentukan siapa kepimpinan hari ini dalam pemilihan nanti. Apa yang jelas adalah asas MBM mendukung apa aspirasi kerajaan semasa.

"Mungkin sebelum ini, kalau kiranya melihat kepada sejarah lalu kalau saya berlaku adil kepada diri saya yang kita bersama kerajaan lama, kita terus menghukum kepada MBM adalah tidak adil. Beri ruang kepada kami untuk membuat sejarah kami," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan dakwaan MBM menjadi tunggangan politik UMNO sebagai satu tuduhan tidak berasas.

"Itu tuduhan sangat berat sebelah. Walaupun kepimpinan mengikuti parti, tetapi tidaklah sampai menggunakan jawatan dalam MBM untuk bergerak sebagai parti. Kita menerima keterbukaan dalam MBM. Ada ahli kita yang menjadi ahli Bersatu dan bukan ahli parti politik," jelasnya lagi.

Beliau juga memberi jaminan bahawa MBM mempunyai idealisme masing-masing dan tidak timbul badan itu menjadi macai politik kepada mana-mana parti politik.

"Soal kita bekerjasama dengan kerajaan, mana mungkin kita tidak lakukan," tambahnya.

Justeru, beliau menjemput Pemuda Amanah untuk menyertai program dilakukan MBM bagi membuktikan bahawa tuduhan dibuat adalah tidak benar.

Sebelum ini, Naib Ketua Pemuda Amanah, Shazni Munir Mohd Ithnin mendesak Presiden MBM, Mu'ammar Ghadafi Jamal dan semua kepimpinan di bawahnya yang terlibat dalam kepimpinan Pemuda UMNO meletak jawatan bagi mengelakkan ia berterusan menjadi tunggangan politik UMNO.

Dalam pada itu, Mu'ammar Ghadafi gagal dihubungi dan difahamkan beliau sedang bercuti di luar negara.