Syarikat-syarikat penerbangan akan mengumumkan penawaran harga tambang musim perayaan dalam masa terdekat.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, langkah itu akan dilakukan selepas syarikat-syarikat penerbangan negara bersetuju untuk meningkatkan kapasiti penerbangan bagi tempoh tujuh hari sebelum musim perayaan.

“Bagi mengurangkan kenaikan harga tambang sempena musim perayaan, kerajaan telah mendapatkan komitmen daripada syarikat-syarikat penerbangan negara untuk meningkatkan kapasiti penerbangan melebihi 20 peratus bagi tempoh tujuh hari sebelum musim perayaan.

“Pengumuman mengenai penerbangan tambahan dan tawaran harga akan diumumkan oleh syarikat-syarikat penerbangan yang berkaitan dalam masa terdekat,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Lazimnya, perayaan Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri, Hari Gawai dan Pesta Keamatan khususnya di laluan-laluan yang mempunyai permintaan yang tinggi termasuk bagi laluan Semenanjung ke Sibu.

Anthony Loke berkata demikian sebagai menjawab soalan Alice Lau Kiong Yieng (PH - Lanang) yang ingin mengetahui usaha kerajaan menyediakan perkhidmatan tambang pelajar kepada penuntut universiti dari Sabah dan Sarawak bagi mengurangkan beban keluarga mereka terutama pada musim perayaan.

Menurut beliau, syarikat penerbangan AirAsia Berhad dan Malindo telah memaklumkan bahawa mereka akan meneliti dan mempertimbangkan cadangan tambang pelajar.

Bagaimanapun, Malaysia Airlines Berhad (MAB) telah memperkenalkan portal web MHexplorer pada Oktober tahun lalu yang mensasarkan para pelajar universiti berumur di antara 18 hingga 26 tahun untuk menggunakan perkhidmatan penerbangan MAB.

“Antara keistimewaan yang ditawarkan ialah pengurangan tambang penerbangan sehingga 20 peratus daripada tambang penerbangan biasa.

“Di samping itu juga, MHexplorer turut menawarkan lain-lain keistimewaan seperti elaun bagasi tambahan 10 kilogram, perubahan tarikh penerbangan percuma, mata ganjaran Enrich untuk program pelajar, diskaun khas untuk hotel terpilih dan tambang teksi melalui ejen-ejen yang dilantik oleh pihak MAB,” katanya.

Selain itu, ujar Anthony Loke, mulai 31 Julai lalu, program MHexplorer juga telah diperluaskan lagi kepada para pelajar berusia antara 13 hingga 26 tahun termasuk guru dan ahli akademik yang berusia sehingga usia 60 tahun yang masih aktif bekerja di sekolah-sekolah dan institut pendidikan tinggi.