Pendidikan bencana perlu diterap di kalangan kanak-kanak di negara ini sebagai persiapan awal berhadapan dengan sebarang kemungkinan bencana alam, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata pendidikan berkaitan bencana seawal usia kanak-kanak itu juga akan dapat meningkatkan kesedaran dan kesiapsiagaan di kalangan kanak-kanak sekiranya berlaku bencana alam.

"Saya difahamkan di Tokyo, Jepun, budak-budak di sana sudah tahu apa yang hendak mereka buat bila bencana berlaku...maka kita mesti melatih anak-anak kita menghadapi bahaya-bahaya risiko seperti ini," katanya berucap pada program Pengurusan Risiko Bencana dan penyerahan 18 unit gerai di Taman Kuala Muda, Penaga di sini hari ini.

Dr Wan Azizah berkata bagi menghadapi kesiapsiagaan bencana juga, semua pihak perlu menjadikan cakna bencana sebagai agenda utama dan latihan perlu diadakan secara berkala agar masyarakat lebih bersedia menghadapi sebarang bentuk bencana.

"Kita tidak boleh alpa dan leka terhadap sebarang kemungkinan risiko bencana alam sehingga mengabaikan aspek persiapan dan kesiapsiagaan...sebelum ini kita beranggapan Malaysia antara negara yang selamat daripada sebarang bencana malah sebelum 26 Dis 2004, tidak ramai yang pernah dengar perkataan tsunami," katanya.

Pada majlis itu, sejumlah 18 unit premis gerai di kawasan penempatan semula mangsa tsunami 2004 di kawasan Taman Kuala Muda diserah kepada Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk membantu usahawan kecil di kawasan itu memulakan perniagaan mereka.

-- BERNAMA